JOHOR BAHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengingatkan rakyat bahawa slogan 'ubah' yang sering dilaungkan pembangkang belum pasti menjanjikan perubahan yang lebih baik kepada negara ini.
Katanya, perubahan yang hendak dibawa pembangkang itu boleh bertukar kepada sesuatu yang lebih buruk kepada negara.
"Jangan main dengan istilah dan perkataan, banyak ahli politik guna 'change', pembangkang di Malaysia pakai 'ubah'. Tetapi 'change' boleh bawa sama ada kepada kebaikan ataupun keburukan," kata beliau.
Memberikan contoh perubahan seperti negara-negara yang mengalami 'Arab Spring', beliau berkata sebuah daripada negara itu yang dahulunya menerima kedatangan 14 juta pelancong setahun kini hanya menerima 700,000 pelancong.
Berucap semasa Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri yang dianjurkan Barisan Nasional (BN) Parlimen Johor Baharu, beliau berkata negara itu kini muflis dan memohon pinjaman daripada Amerika Syarikat dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; calon kerusi Parlimen Johor Baharu yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan calon BN yang lain.
Najib turut berkata, dasar transformasi yang diperkenalkan kerajaan telah meningkatkan pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus tahun lalu selain Bursa Malaysia mencecah paras 1,700 mata, yang tertinggi pernah dicatatkan sehingga kini.
Kejayaan itu, katanya, membuktikan kekayaan negara bertambah, inflasi rendah dan negara juga akan mempunyai 3.3 juta peluang kerja baharu menjelang tahun 2020.
- BERNAMA, myMetro
0 comments:
Post a Comment