PONTIAN 27 April – Melihat kepada senario politik tanahair hari ini, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkeyakinan, Barisan Nasional (BN) mampu memenangi sekurang-kurangnya 160 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini selain terus mengekalkan Johor sebagai benteng kuat BN di Malaysia.
Namun katanya BN mesti terus berkerja kuat hingga ke masa terakhir pengundian tanpa menghiraukan apa jua propaganda pembangkang.
Pada masa yang sama beliau turut menggesa seluruh jentera BN meningkat kewaspadaan terhadap tindak tanduk ganas pihak-pihak tertentu.
“Kita mengecam dan mengutuk kekecohan dan kegiatan-kegiatan yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen sehingga mencetuskan kerisauan di kalangan rakyat.
“Baling bom, baling botol, ganggu bilik-bilik gerakan dengan membakar bendera, saya menggesa pihak berkuasa agar segera menangkap dan membawa si pelakunya ke muka pengadilan.
“Semua pihak mesti bertenang, memang suhunya panas tetapi kita hendaklah tenang sewaktu berkempen. Jangan ikut perasaan, jangan terlalu emosial tapi kita kena rasional supaya tidak berlaku perkara-perkara yang merisaukan masyarakat,” ujarnya selepas merasmikan Klinik Desa Parit Abdul Rahman di sini hari ini.
Beliau berharap agar kejadian-kejadian tidak diingini ini tidak akan akan berlaku lagi di hari-hari terakhir berkempen ini bagi menjamin proses pilihanraya umum ke-13 ini berjalan dengan lancar.
Namun kita sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku kerana kita jangkakan ada 13 kejutan yang akan dibuat oleh pakatan pembangkang dan salah satunya adalah mereka akan menimbulkan huru-hara seperti yang berlaku sehari dua ini.
“Saya harap kalau pun perkara ini tidak dilakukan oleh kumpulan pembangkang, namun kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini harus dibawa segera ke muka pengadilan,” ujarnya yang juga calon BN bagi kawasan pilihanraya Parlimen Pontian.
- MediaUMNO, UMNO-ONLINE
0 comments:
Post a Comment